Friday, December 24, 2010

Ketentuan ALLAH..Ummi Redha Kau Pergi

Salam semua..

Alhamdulilah, syukur ke hadrat ALLAH kerana masih diberi kesempatan untuk menikmati sekali lagi hari Jumaat iaitu penghulu bagi segala hari. Apa yang berlaku 2 hari lepas umpama mimpi bagi ummi..Ya ALLAH, memang KAU Maha Berkuasa..Manusia yang kerdil seperti ummi ini hanya mampu merancang tetapi KAU yang menentukan segalanya..

Jumaat yang lepas, buat pertama kalinya selepas 9bulan ummi didatangi darah yang ummi sangkakan darah 'period'. Sejak ummi mengamalkan makan pil perancang Noriday seperti di entri ini, darah 'period' ummi tak pernah datang menjenguk ummi. Mula-mula memang ummi risau, tapi bila ummi dapat beberapa info yang kalau ambil Noriday, memang tak 'period', jadinya ummi menganggap ini sebagai perkara biasa.

Sehinggalah awal pagi Rabu kelmarin, ummi mengalami tumpah darah yang sangat banyak. Sehingga keluar beberapa ketul darah beku seakan-akan hati ayam.. Memang sangat terkejut dengan apa yang berlaku sebab ummi tak pernah mengalaminya. Subhanallah..Pad yang disalin, terus penuh dengan darah sehingga tembus ke kain yang dipakai dan darah terus mengalir tanpa henti.

Ummi agak panik, risau dan tak pasti adakah ummi keguguran ataupun ia darah period yang terkumpul sejak 9bulan yang lalu. Ummi terus telefon ayah yang ketika itu dalam perjalanan ke pejabat. Ummi tak mampu nak menghadapinya seorang diri dengan keadaan ummi sebegitu, kakak dan adik yang masih di rumah..Maaf abang, menyusahkan abang..

Bila ayah sampai je, ayah suruh ummi bersiap-siap ke hospital alor gajah dan ayah siapkan barang anak-anak untuk ke taska. Di hospital Alor Gajah, ummi rasa sangat tidak selesa di perut ummi seakan-akan kontraksi yang ringan. Ummi meminta izin untuk ke tandas menyalin pad. Ketika itu, ayah di rumah membersihkan darah dan mengambil segala keperluan ummi untuk dibawa ke hospital. Yang menemani ummi ketika itu ialah cik Hajar dan Pak Din (makcik dan pakcik saudara ummi)

Darah di tandas, jangan cerita memang banyak sangat. Seluar yang ummi pakai penuh dengan darah, 2 lapis pad yang ummi pakai pun tak mampu menampung darah yang mengalir..MasyaALLAH..Ummi terasa sesuatu seakan-akan daging yang mahu terkeluar dari bahagian bawah, ummi cuba meneran..dan ketika ummi bangun, daging itu jatuh sendiri ke lantai..

MasyaALLAH, ummi panik...nasib baik Cik Hajar berada bersama ummi di tandas ketika itu..Luluh jantung ummi melihat daging itu..Lidah terkedu, nasib baik cik Hajar banyak membantu..Ribuan terima kasih ummi ucapkan pada cik Hajar dan Pak Din. Rasa bertuah punya saudara yang sangat prihatin..

Kemudian, ayah bawa ummi ke Hospital Muar kerana jika ummi masih di Hospital Alor Gajah, ummi akan dihantar ke Hospital Melaka. Oh, tidak..bagaimana dengan anak-anak..?Siapa yang akan menjaga mereka? Atas alasan itu, ummi mohon untuk keluar dari sana dan mengambil risiko sendiri untuk ke Hospital Muar. Ummi selesa di Hospital Muar sebab dekat dengan rumah keluarga Ummi, mudah untuk anak-anak datang melawat ummi, memudahkan ayah kerana ada yang membantu menjaga anak-anak andai ummi terpaksa berlama di hospital dan pengalaman ummi dirawat dengan baik semasa melahirkan Harith di sini.

Di sini, ummi discan, dispeculum untuk memastikan bahawa tiada lagi daging atau darah beku yang tertinggal di rahim ummi. Dan, alhamdulilah, semuanya telah selamat keluar secara normal tanpa perlu dicuci..Namun demikian, ummi perlu untuk bermalam di wad bagi memastikan ummi dapat berehat sepenuhnya.

Buat pertama kalinya, Harith akan berpisah tempat tidur dengan ummi..kesian si kecil tu, biasanyasetiap malam kalau tersedar dia akan menyusu bersama ummi tetapi nampaknya malam ni, adik terpaksa menyusu menggunakan botol dan tidur bersama tok mami dan tok baba..si kakak, alhamdulilah tiada masalah sangat dan dia tidur bersama ayah tercintanya..

Sabar ya adik..walaupun ummi tiada bersama malam tu, ummi tak lupa tanggungjawab ummi untuk membekalkan yang terbaik untuk adik..

Wajah seorang ummi yang merindui permata hatinya..


Tanggungjawab hakiki:-)


Bekalan untuk Harith dari hospital

Ummi diberi cuti selama 2minggu dan dalam tempoh ini ummi akan berehat dan menyembuhkan fizikal dan mental ummi. Sedih??Kehilangan sesuatu yang ummi tak tau kehadirannya..Ummi sedikit terkilan, kerana tak menyedari tentang kehadiran sesuatu di dalam rahim ummi..

Maafkan ummi sayang, andai ummi tahu kamu sedang membesar dalam rahim ummi, pasti ummi akan menjaga kamu sebaik mungkin seperti kakak dan abangmu..Mungkin belum rezeki lagi untuk kakak dan abangmu mendapat adik sebab mereka masih kecil..

Pengajaran daripada pengalaman berharga ini yang boleh ummi simpulkan, segala perancangan keluarga yang kita lakukan dan rancangkan hanya 99% sahaja yang tepat..yang pasti ketentuan ALLAH..DIA yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk HambaNYA..

Jika ada antara kita walaupun mengambil sebarang langkah pencegahan hamil, jika merasa sesuatu yang berlainan dalam diri, antara petanda hamil seperti loya dengan bau wangi, loya ketika memberus gigi, susu berkurangan jika menyusukan bayi..cepat-cepatlah buat ujian kehamilan..mungkin anda hamil..semua tanda itu sebenarnya ummi rasa cuma ummi menidakkan hati yang ummi mengandung sebab ummi membuat langkah pencegahan..sehinggalah ummi kehilangannya..

Tak lupa ummi nak ucapkan sangat terima ksih kepada abang, sanggup membantu sayang di saat sayang berada dalam kesakitan, cik hajar dan pak din, mak dan abah, anak-anak, angah, Hafiz, doktor dan jururawat Hospital Alor Gajah dan Hospital Muar.


Ummi: Kita hanya manusia yang hanya mampu merancang, kejadian dan ketentuan ALLAH sukar untuk dijelaskan.






0 comments: